Sunday, October 18, 2009

Keluarga Bahagia Penentu Kepada Pembentukan Masyarakat Yang Harmoni

Keluarga merupakan satu ikatan kemasyarakatan antara suami, isteri dan anak yang berkongsi kehidupan. Ia menjadi sumber akhlak bagi setiap manusia dan tunggak utama untuk membina dan membentuk sikap dan keperibadian. Justeru pembinaan sebuah keluarga merupakan suatu perkara yang amat penting dalam kerangka pembangunan kemanusiaan kerana keluarga membentuk suatu masyarakat kecil yang akhirnya menjadi elemen penentu bagi acuan masyarakat yang bakal lahir.



Untuk menjamin kelahiran sebuah keluarga yang harmoni, pembinaan sebuah keluarga mesti dibina di atas asas yang betul dan tepat bermula daripada objektif dan seterusnya langkah-langkah pembinaan tunggak dan binaannya. Islam telah menetapkan beberapa objektif sesebuah perkahwinan sebagai langkah awal pembinaan sebuah kelurga yang harmoni. Di antaranya untuk meneruskan kesinambungan zuriat manusia, menjaga kehormatan diri dengan melampiaskan nafsu ke tempat yang halal dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan.


Perhubungan suci antara lelaki dan perempuan dengan cara yang halal yang dikenali sebagai perkahwinan ialah satu-satunya cara yang bersih dan suci untuk menjamin kesinambungan zuriat manusia. Allah telah berfirman yang bermaksud:


Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari jiwa yang satu. Dia menjadikan daripada dirinya pasangannya. Dia telah memancarkan dari kedua-duanya lelaki yang ramai dan juga perempuan (Al Nisa’: 1).


Allah telah menciptakan Adam sebagai manusia pertama. Seterusnya dicipta pula Hawa untuk menjadi pasangannya. Seterusnya menerusi hubungan jenis antara kedua-dua lahirlah zuriat manusia, lelaki dan perempuan yang akhirnya membentuk berbagai bangsa dan keturunan. Kelahiran zuriat dalam suasana ikatan keluarga ini akan melahirkan manusia yang mendapat kasih sayang yang cukup. Kasih sayang dan kemesraan ini sudah cukup untuk membentuk emosi dan jiwanya untuk menjadi seorang insan yang berjiwa tenang dan baik.

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP